Empat anak Horus
Empat anak Horus

Empat anak Horus

Empat anak Horus adalah sekumpulan empat dewa dalam agama Mesir purba yang dipercayai akan melindungi orang yang telah meninggal dunia di akhirat. Bermula dari Tempoh Perantaraan Pertama dalam sejarah Mesir (s. 2181–2055 SM), Imsety, Hapy, Duamutef dan Qebehsenuef amat berkait dengan empat takar kanopi yang menempatkan organ-organ si mati yang dikeluarkan semasa dijadikan mumia. Selalunya, Imsety melindungi hati, Hapy paru-paru, Duamutef perut, dan Qebehsenuef usus, tetapi hal ini sering berbeza-beza. Takar kanopi mempunyai penutup dengan kepala anak-anak Horus. Walaupun mereka asalnya digambarkan sebagai manusia, pada setengah kedua Kerajaan Baru (s. 1550–1070 SM), mereka mudah dibezakan kerana Imsety digambarkan sebagai manusia, Hapy sebagai babun, Duamutef sebagai jakal dan Qebehsenuef sebagai falkon. Mereka juga dikaitkan dengan bintang di langit, wilayah Mesir dan arah mata angin.Anak-anak Horus dipuja hampir semata-mata dalam hal pengebumian. Mereka kali pertama disebutkan pada penghujung Kerajaan Lama (s. 2686–2181 SM) dalam Teks Piramid dan terus diseru dalam teks-teks pengebumian sepanjang sejarah Mesir purba. Hubungan mereka dengan takar kanopi mula kekal pada Tempoh Perantaraan Pertama dan selepas itu ada merata-rata dalam hiasan peti kanopi, keranda, dan sarkofagus. Walaupun mereka semakin berkait rapat dengan organ dalaman, mereka terus muncul dalam barangan pengebumian walaupun takar kanopi tidak digunakan lagi pada Zaman Ptolemaik (303–30 SM), baru terhapus hanya pada abad keempat Masihi dengan kepupusan tradisi pengebumian Mesir purba.